Berjalan-jalan di Batu Masjid, Temoh, Perak
Ahad 21 Februari 2010, aku berjalan-jalan di Kg Batu Masjid, Temoh yang terletak kira-kira 45km dari Ipoh. Bersua dan bergebang dengan kawan-kawan lama seraya melewati bekas Sungai Pak Ji yang mengimbau banyak kisah silam. Sungai itu banyak menyimpan peristiwa suka dan duka. Kisah di zaman kanak-kanak berlumba-lumba terjun dari tebing, kemudian berenang ke hilir. Apabila hujan petang, air sungai itu membuak dan melimpah ke tebing dengan membawa beberapa ekor ikan malih, putih dan terobol ke sebuah paya. Aku sempat menggagau untuk lauk makan malam.
Sungai Pak Ji menjalar dan menghilir berliku-liku dari Kg. Batu 3 Temoh, melewati Kg.Tanah Seribu dan Kg Terendam ke Ayer Kuning. Jernih dan bening, jika tidak hujan di hulu atau dikocak budak-budak. Musim panas begini, airnya dingin dan menyejukkan badan jikalau berendam. Di tahun-tahun pra merdeka hingga pertengahan 60-an, di sini lah anak-anak Batu Masjid membasuh pakaian, mandi-manda hatta mengambil wuduk. Sungai ini bagaikan denyut nadi mereka. Sungai ini bagaikan penyambung kasih teruna dara. Sungai ini adalah nikmat dari Tuhan!
Namun kini ia tidak lagi berdenyut dan bernadi. Dia sudah lama mati. Airnya tidak lagi mengalir tetapi hanya berlompak kekeringan. Sungai Pak Ji sudah hilang entah ke mana. Aku telah berpuluh tahun meninggalkan sungai ini semenjak peristiwa kakakku (berusia 6 tahun) tersembam di tebingnya. Dia terbunuh dihentak sepohon kayu yang patah tengah. Kejadian itu berlaku pada tengah hari dan aku sama-samanya memanjat tebing cuba melarikan diri apabila tiba-tiba terdengar bunyi rak, rak, rak!. Kakak tidak sempat ke daratan apabila pohon kayu yang patah tengah itu menghempap kepalanya. Darah merah tersembur dan merecik membasahi seluruh tubuh yang terbujur kaku. Uwah (emak saudara) yang sedang membasuh kain di sebelah tebing sana, berlari sambil menjerit minta tolong. Sekelip mata ramai anak-anak Kg Tanah Seribu mengerumuni tebing Sungai Pak Ji. Peristiwa hitam ini masih melekat di benak dan di mataku. Masih terbayang di ruang mata.
Pada tahun 1964, kami sekeluarga pindah jauh dari Sungai Pak Ji tetapi masih di Kg. Batu Masjid juga. Sungai itu dengan perlahan dan amat perlahan kami lupakan. Tidak juga kami, anak-anak Batu Masjid pun begitu. Peristiwa hitam itu semakin dilupakan kerana orang-orang tua sudah ramai yang meninggal dunia, namun sejarah tidak pernah mati. Sejarah akan hidup sampai bila-bila dan mekar di langit zaman.
Hari ini aku melewati sejarah itu. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Acap kali juga kenangan lalu itu mengusik ketenangan hati ini!
__________
nota: Kg Batu Masjid mendapat nama berasaskan jumpaan batu besar yang menyerupai sebuah masjid. Ia dibuka pada tahun 1885 Masehi oleh sekumpulan orang tanah seberang di kalangan orang-orang Rao, Sumatera Barat yang diketuai oleh Lebai Tenggam. Sila rujuk buku Batu Masjid untuk keterangan lanjut. Foto di atas adalah batu yang dikatakan menyerupai sebuah masjid ketika dijumpai lebih seratus tahun yang silam.