78 peserta dapat rumah SPNB bersyukur
Dipetik dari berita Sinar Harian
TEMOH- Penduduk yang berjaya memiliki rumah bantuan Rumah Syarikat Perumahan Negara Berhad ( SPNB ) bagi parlimen Tapah baru-baru ini melahirkan rasa bersyukur dengan bantuan yang diberikan. Sebanyak 58 rumah sudah siap dibina, manakala terdapat 20 buah rumah lagi yang masih dalam pembinaan menjadikannya keseluruhan 78 peserta berjaya mendapatkan bantuan kediaman tahun ini.
Pemilik rumah, Sabariah Karim, 52, berkata, beliau amat bersyukur selepas permohonannya untuk memiliki rumah berjaya menjadi kenyataan. Katanya, permohonan untuk memiliki rumah bantuan ini dilakukan pada tahun 2007 dan berjaya diterima dan rumahnya kini sudah siap untuk diduduki. " Saya berasa gembira dan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana menjadikan impian saya untuk memiliki sebuah rumah sebagai satu kenyataan. Permohonan telah saya kemukakan pada tahun 2007 dan berjaya dilaksanakan dan rumah ini siap dibina pada Februari lalu," katanya ketika ditemui selepas majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat SPNB di Kampung Tersusun Haji Tahir di sini.
Majlis disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Air Kuning, Datuk Samsuddin Abu Hassan. Seramai 16 pemilik rumah menerima kunci mereka pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Pengurus Besar SPNB Bahagian rumah Mesra Rakyat, Mohd Sharif Rahmat.
Sabariah berkata, dia dan suaminya adalah pesara dan mendiami rumah itu seramai empat orang termasuk dua orang anaknya. "Terima kasih kepada ADUN yang begitu perihatin dengan masalah penduduk seperti kami yang terlalu inginkan sebuah rumah. Kepada semua pihak yang terlibat juga diucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, SPNB dan sebagainya," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Batu masjid, Mat Safran Mat nor berkata, penduduk di Kampung Batu Masjid begitu bertuah kerana seramai 12 antara mereka berjaya memiliki rumah ini. Beliau berkat, keprihatinan yang ditunjukkan oleh kerajaan dalam membantu rakyatnya yang susah begitu dihargai. "Keprihatinan yang diberikan oleh kerajaan menyaksikan penduduk kini berada dalam keadaan yang selesa dalam menempuh hidup. Syukur kepada Ilahi dengan nikmat yang diberikan kerana kini penduduk sudah boleh merasai nikmat memiliki rumah sendiri dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan," katanya.