Aktiviti kemasyarakatan golongan muda memberangsangkan
TEMOH - Program Khidmat Masyarakat peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Sentosa, Chenderiang yang diadakan di Kampung Batu Masjid di sini, semalam, wajar diteruskan kerana ia banyak memberi manfaat kepada golongan belia.
Ahli Parlimen Tapah, Datuk M Saravanan berkata, penglibatan belia di dalam aktiviti kemasyarakatan kini dilihat sangat memberangsangkan dan dapat ditingkatkan lagi.
Menurutnya, aktiviti seperti itu sememangnya baik kerana ia dapat memberi pengajaran berguna kepada golongan belia.
“Golongan belia sepatutnya lebih galak menyertai aktiviti sebegini kerana ia dapat membentuk jati diri dan sifat kepimpinan.
“Apa yang diharapkan golongan belia yang merupakan pelapis barisan kepimpinan negara ini akan dapat dibentuk dari sekarang agar menjadi pemimpin lebih baik,” katanya yang ditemui pada program itu, di sini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu Masjid, Mohd Safran Mohd Nor.
Pelbagai aktiviti dijalankan sempena program itu seperti gotong-royong membersihkan kawasan kampung, bermesra bersama penduduk, senamrobik dan banyak lagi.
Sementara itu, Mohd Safran berkata, beliau berbangga kerana kampungnya dipilih menjalankan program kemasyarakatan itu dan penduduk pula memberikan kerjasama baik pada setiap aktiviti yang diaturkan.
“Pemilihan kampung ini sebagai tempat menjalankan aktiviti sangat kami hargai. Penglibatan golongan belia juga sangat memuaskan hati kerana mereka memberikan kerjasama yang baik kepada warga penduduk kampung ini yang lebih tua,” katanya.