TRAGEDI HITAM DI TAMAN TASEK TEMOH
Ayah hilang kudrat
Oleh Mustafa Ngah Mansoram@hmetro.com.my
SEDIH....Norlizawati menunjukkan gambar Allahyarham
Mohd Fadeli bersama keluarga sempena aidilfitri tahun lalu.
TAPAH: “Saya terlalu sedih kerana kejadian berlaku di depan mata. Saya cuba menyelamatkannya tapi kudrat tidak mengizinkan menyebabkan saya terpaksa berpatah balik ke daratan dalam keletihan.Mohd Fadeli bersama keluarga sempena aidilfitri tahun lalu.
“Saya sempat melihat dia tenggelam timbul sebelum hilang,” kata Othman Aladdin, 53, bapa Mohd Fadeli, 27, pembantu am rendah di Pejabat Pelajaran negeri di Ipoh yang lemas ketika cuba mendapatkan bot kawalan jauhnya yang rosak di tengah tasik di Taman Rekreasi Temoh dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa bersama ibu, Baesah Lobe, 51, bapa dan tiga adik serta seorang rakan pergi ke tasik berkenaan untuk bermain bot kawalan jauh.
“Arwah beria-ia mengajak kami sekeluarga ke tasik berkenaan untuk melihatnya bermain bot kawalan jauh. Bagaimanapun, ketika sedang asyik bermain, botnya dipercayai rosak atau kehabisan minyak di tengah tasik.
“Dia kemudian berenang ke tengah tasik untuk mengambil bot kawalan jauh itu tapi belum sempat memegangnya, arwah kelihatan tenggelam timbul sambil menjerit minta tolong.
“Melihat keadaan itu, tanpa berfikir panjang saya terus terjun untuk menyelamatkannya tapi selepas berenang beberapa meter, saya penat lalu mengambil keputusan berpatah balik ke tebing,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Tersusun Temoh, di sini, semalam.
Sebaik tiba di tebing, dia yang bekerja sebagai pemandu bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berpaling ke arah Mohd Fadeli dan melihatnya tenggelam timbul sebelum hilang.
Sementara itu, isteri mangsa, Noorlezawati Hassan, 24, berkata arwah tidak banyak bercakap dan kelihatan murung sejak lebih seminggu lalu.
Katanya, apabila ditanya perubahan sikapnya itu, arwah hanya mendiamkan diri.
Ini berbeza dengan perwatakannya yang sentiasa ceria dan tersenyum.
“Saya tak sangka itu petanda arwah akan pergi meninggalkan kami sekeluarga selamanya,” katanya.
Menurutnya, dia terlalu sedih dengan kehilangan arwah kerana jam 5 pagi kelmarin, arwah sempat mengucup dahinya sebelum keluar dari bilik tidur.
Sementara itu, Ketua Polis Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan mengklasifikasikannya sebagai mati lemas.