gravatar

Hj Tahir Lebai Tenggam menjadi Ketua Kampung Batu Masjid hampir separuh abad

Dipetik dari blog sekondakhati



Apabila pembuka dan ketua Kg Batu Masjid, Lebai Tenggam yang berasal dari Rao Sumatera Barat itu, diserang lumpuh pada tahun 1915 ketika berusia 40 tahun, anakandanya bernama Tahir “diangkat” penduduk kampung sebagai memangku jawatan itu. Kenapa Tahir dan tidak pula seorang lagi anak lelaki Lebai Tenggam iaitu Taib. Tiada maklumat tentang perkara ini. Sebenarnya Lebai Tenggam memiliki lima orang anak; tiga perempuan – Minah, Zainab dan Robaiyah. Lelaki pula dua orang iaitu Tahir dan Taib.

Hj.Tahir ketika mula memangku jawatan ketua kampung berusia 12 tahun. Pun begitu Allahyarham menunjukkan sifat kepimpinan yang tinggi walaupun masih terlalu muda. Keterangan Abdul Salam (anak saudara Hj Tahir . Meninggal dunia tahun 2003) menyebut Hj Tahir ketika seusia itu sudah boleh memimpin bacaan doa, tahlil, yasin serta kerap dijemput apabila penduduk mengadakan kenduri-kendara. Hj. Tahir telah bersedia mengantikan peranan yang sebelum ini dilaksanakan oleh Lebai Tenggam.

Dia mendapat pendidikan terutama bidang keagamaan daripada ayahnya, Lebai Tenggam secara tidak formal. Di samping berguru dengan bapanya, dia juga rajin menelaah kitab dengan bimbingan Lebai Tenggam. Dia sudah bergelar haji semenjak kecil lagi dan kali kedua pula pada tahun 1974 dengan menaiki kapal laut dari Pelabuhan Pulau Pinang.

Hj Tahir memangku jawatan ketua kampung selama 13 tahun. Apabila Lebai Tenggam meninggal dunia pada tahun 1928, Hj Tahir terus dilantik secara rasmi sebagai Ketua Kampung Batu Masjid sehingga melepaskan jawatan tersebut pada tahun 1975 sesudah berkhidmat selama 47 tahun. Satu-satunya rekod perkhidmatan sukarela paling panjang yang pernah diberikan oleh seorang ketua kampung di negeri Perak malah di Malaysia.

Sepanjang tempoh sebagai ketua kampung, Hj Tahir pernah menjadi guru agama di SK Batu 3, Temoh serta berdakwah ke Tapah dan di kampung-kampung yang berada dalam Mukim Chenderiang. Menurut keterangan Hjh Habshah 73 (anak saudara Allahyarham), ketika berdakwah serta mengajar agama di Tapah, Hj Tahir hanya berbasikal seorang diri. Allahyarham juga pernah menjadi imam masjid Batu Masjid serta mengadakan kelas fardu ain, mengaji quran boleh dikatakan setiap hari tanpa gaji selama berpuluh-puluh tahun. Pendek kata hampir seluruh penduduk kampung adalah bekas anak murid Hj Tahir sama ada mengikuti kelas fardu ain bagi orang dewasa atau mengaji quran bagi kanak-kanak.

Sebab itulah Hj Tahir amat dihormati oleh setiap lapisan umur. Mereka menghormati beliau kerana sifat zuhud, tawaduk serta kealiman yang ada pada dirinya. Penulis merasai pengalaman luar biasa suatu hari apabila terserempak dengan Hj Tahir di jalanan, tiba-tiba sahaja penulis memberhentikan basikal dan turun berdiri seolah-olah memberi hormat kepada Hj Tahir. Tindakan ini dibuat tanpa arahan sesiapa; tidak semena-mena terjadi demikian rupa.

Satu lagi yang penulis kesani ialah tidak seorang pun penduduk Batu Masjid tegar dan berani memanggil namanya melainkan Pak Ji bagi dewasa atau Ninik Aji bagi kanak-kanak. Ini tiada siapa yang mengajar atau memaksa melainkan amalan yang diamalkan turun temurun, seolah-olah menjadi undang-undang tidak bertulis.

Barangkali Allah s.w.t telah berikan karamah kepada Allahyarham yang sentiasa mendampingi-Nya setiap masa. Rutin hariannya, berdakwah, mengajar, mengimami solat, sesekali mengetuai bacaan doa selamat dalam majlis kenduri anak-anak buahnya, menelaah kitab kuning dan iktikaf di masjid. Dia bersolat subuh di masjid kemudian iktikaf sehingga waktu dhuha. Dan, pada hari arwah meninggal dunia sekitar bulan Mac 1978, dia sempat minum di kedai kopi Yusuf Che’ Din selepas solat dhuha, kemudian balik ke rumah mengadu sakit perut kepada isterinya, Hjh Halimah. Isterinya memberikan minyak angin dan Hj Tahir berbaring di katil dengan mengusap minyak angin itu pada perutnya dan tidak lama kemudian dia pun menghembuskan nafas terakhirnya dengan senang dan tenang.

Kerana memiliki ilmu agama yang tinggi, arwah pernah dilantik oleh Kerajaan Negeri Perak sebagai salah seorang anggota majlis ulama negeri yang sifatnya seperti majlis fatwa jika menggunakan istilah sekarang. Dan arwah mempunyai ramai kawan yang sepertinya berdakwah dan mengajar agama; antaranya ialah Tuan Guru Yeop Majlis (Lambor), Tuan Guru Hj Shafei dan Tuan Guru Hj Yunus (Tualang Sekah). Mereka sering berbahas mengenai tajuk-tajuk tertentu dalam bidang agama untuk kepentingan masyarakat Islam.

Hj Tahir memimpin Batu Masjid dengan penuh berhemah. Dia pernah menjadi Ketua Cawangan UMNO Batu Masjid tetapi di waktu yang sama arwah tidak pula menentang penubuhan ranting PAS di kampung tersebut. Malahan ada ketikanya pada sekitar tahun 60-an, ada segelintir penduduk cuba membawa masuk pengaruh DAP dan berura-ura untuk menubuhkan cawangan tetapi Hj Tahir tidak melarang atau bertindak menentang sebaliknya kerana berasa malu mereka membatalkan niat untuk menubuhkan cawangan DAP di Batu Masjid. Namun demikian PAS tetap bertapak dan masih kekal hingga sekarang.

Hj Tahir tidak terlalu taksub dengan mana-mana ideologi parti politik partisan sebaliknya memberikan kebebasan kepada anak buahnya untuk memilih parti mengikut keyakinan masing-masing. Justeru walaupun ada dua parti di Batu Masjid tetapi ukhwah dan silaturrahim di kalangan penduduk kian erat, contohnya mereka berganding bahu dan bersatu tanpa mengira parti masing-masing apabila ada kematian, kenduri kendara serta acara gotong royong yang membabitkan kepentingan masyarakat.

Sesungguhnya Batu Masjid masih kehilangan permata ini walaupun sudah tiga dekad Allahyarham menetap di alam barzah. Sebab itulah pada suatu hari sekitar tahun awal 90-an ada seorang anak muridnya datang ke Batu Masjid untuk menemui gurunya sedangkan arwah sudah lama meninggalkan alam yang fana ini. Mereka sebenarnya masih merasakan kehilangan sesuatu. Al-Fatihah buat Ninik Aji.

____
Nota:

1. Pak Aji - panggilan hormat orang Rao kepada seseorang berkedudukan bapa yang telah menunaikan fardu haji daripada mereka yang bertaraf anak kepadanya.
2. Ninik Aji- panggilan hormat orang Rao kepada seseorang tua lelaki berkedudukan datuk / wan yang telah menunaikan fardu haji daripada mereka yang bertaraf cucu kepadanya.

Artikel Terkait by Categories



Widget by Uda3's Blog
Bagikan

LAMAN KOMUNITI FACEBOOK BATU MASJID

KUMPULAN BATU MASJID DI FACEBOOK

BUKIT BATU MASJID

RAO BERANDAI

NASIB SIBUTA (LEMAN SENDO)

PETA KAMPUNG BATU MASJID

azam2066's map homepage

TARIKH

DEMI MASA

WAKTU SOLAT

CUACA

SAPA MENYAPA


ShoutMix chat widget

BANK ONLINE

Maybank

Public Bank

CIMB Bank

Bank Islam

LINKS

Create your own banner at mybannermaker.com!

iluvislam

Islam grid

Minda Tajdid

Tutorial Blog

Dummies Guide to Google Blogger Beta



NEWS PAPER ONLINE

COMMUNITY BLOGGER